MADRID: Pengendali Villarreal, Unai Emery menaruh kepercayaan tinggi kepada anak-anak buahnya untuk mengatasi Manchester United menjelang aksi final Liga Europa awal pagi esok di Stadium Energa Gdansk, Poland.
Pengendali berusia 49 tahun itu bakal menerima imbuhan jika membawa kelab tersebut merangkul kejuaraan, sekali gus meraih tiket ke Liga Juara-Juara bagi musim hadapan.
Emery boleh mendapatkan kedua-duanya di
jika kejutan dipamerkan berdepan United yang bukan hanya memberikan Villarreal trofi utama mereka tetapi juga tempat ke saingan utama Eropah.
“Kami menghormati United tetapi kami rasa yakin untuk menang trofi. Kami akan mempamerkan aksi terbaik seperti yang ditunjukkan sepanjang kejohanan,” kata pengendali dari Sepanyol itu.
Sekiranya tewas, Villarreal tidak dapat bersaing di Liga Europa musim depan selepas menamatkan saingan La Liga musim ini di tangga ketujuh dan hanya layak beraksi dalam kejohanan baharu UEFA, Liga Persidangan Europa.
Bagaimanapun tiada tekanan berlebihan buat Emery kerana ia bergantung kepada pertemuan Villarreal dan United, kejohanan pertama mereka di Eropah sejak menjulang Piala Intertoto pada 2004.
“Villarreal sudah mara ke separuh akhir Liga Europa sebanyak tiga kali sebelum ini dan kini sudah berada di pentas final.
“United adalah pasukan pilihan kerana sejarah dan berbelanja besar. Kami sedikit ketinggalan tetapi jika kami bermain baik, saya rasa mereka (Villarreal) boleh melakukan kejutan,” kata bekas pemain tengah kelab itu, Marcos Senna yang menjulang Piala Intertoto, 17 tahun lalu. – AFP