IPOH: Dua remaja Orang Asli antara 28 pemain yang disenaraikan wakil Perak, MNY FC dalam Liga M3 2021 bermula Jun ini.
Mereka adalah Refon Roslan dan Muhammad Haikel Ali, kedua-duanya berusia 19 tahun.
Refon merupakan anak kelahiran Lojing, Kelantan, manakala Haikell yang beraksi di jentera tengah pula berasal dari Rancangan Penempatan Semula (RPS), Kemar, Gerik.
Ketua Jurulatih MNY FC, S. Sathia Kumaran berkata, dia tertarik melihat aksi ditampilkan kedua-dua pemain yang disifatkannya begitu meyakinkan.
“Sejujurnya saya teruja dengan aksi yang ditunjukkan dua pemain ini. Mereka ada bakat semula jadi dan memang sesuatu yang kami cari, sekaligus untuk berikan mereka peluang beraksi di peringkat lebih tinggi.” katanya selepas majlis pengenalan pasukan di sini baru-baru ini.
Refon dan Haikell merupakan produk hasil inisiatif pihak pengurusan MNY FC yang terlebih dahulu mewujudkan pasukan pembangunan sejak Disember lalu.
Tenaga mereka akan digembling dengan pemain berpengalaman seperti Mohd. Hafiz Kamal, Muhammad Afiq Azmi, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri dan Khairul Amri Salehuddin.
Selain itu, MNY FC juga diperkuatkan oleh beberapa pemain yang pernah menyarung jersi skuad Liga Super seperti Muhamad Norfiqrie Abdul Talib dan Aminuddin Abu Bakar dari Kedah serta bekas pemain Perak, Hamizul Izaidi Zulkifli.
Norfiqrie dan Aminuddin pernah merasai pengalaman berlatih di luar negara selama sebulan apabila Norfiqrie telah mendapat peluang menjalani latihan selama sebulan di Perth Glory manakala Aminuddin pula ke Cardiff City.
Majlis pengenalan pemain, pelancaran jersi serta sesi menandatangani kontrak bersama penaja-penaja Kelab Bola Sepak MNY (MNY FC) telah diadakan dengan gilang-gemilang di sebuah hotel terkemuka di Ipoh, baru-baru ini.
Bersempena majlis tersebut juga, Samudra Group of Companies telah diumumkan sebagai penaja utama pasukan manakala Tower Regency Hotel & Apartments selaku penaja bersama serta jenama dari Itali, Kronos selaku penaja kelengkapan rasmi MNY FC. – UTUSAN