BERLIN: Jadon Sancho dan Erling Haaland masing-masing meledak dua gol untuk membawa Borussia Dortmund menjulang Piala Jerman selepas menumpaskan RB Leipzig 4-1 pagi tadi.
Dortmund menampilkan aksi cemerlang di Stadium Olimpik Berlin, menyempurnakan semua tiga percubaan tepat pada babak pertama.
Pemain sayap England, Sancho berpeluang meledak hatrik di lewat permainan selepas mengatasi penjaga gol, Peter Gulacsi, namun gagal menemui gawang.
“Saya tidak tahu apa berlaku, saya pasti akan melihat kembali perlawanan ini dan menyesal kerana tidak mendapat hatrik.
“Maaf kepada semua penyokong Dortmund,” kata Sancho.
Pemain tengah Sepanyol, Dani Olmo menghadiahkan gol tunggal buat Leipzig, sebelum Haaland menyudahkan gol keduanya pada lewat permainan.
Dortmund merangkul Piala Jerman buat kali kelima dalam sejarah kelab.
“Ia menakjubkan. Saya bangga dengan moral ditunjukkan pasukan dalam beberapa minggu ini,” kata kapten, Marco Reus yang turut membawa Dortmund kembali ke Liga Juara-Juara.
Kekalahan di Berlin amat mengecewakan pengendali Leipzig, Julian Nagelsmann yang berharap untuk meraih trofi pertama bersama kelab itu sebelum meninggalkan mereka untuk menyertai Bayern Munich musim depan. – AFP