PARIS: Manchester City dan Chelsea tidak akan berentap di Istanbul dalam perebutan kejuaraan Liga Juara-Juara, sebaliknya venue perlawanan akhir dipindahkan ke Porto.
Aksi final pada 29 Mei itu akan berlangsung di Stadium Dragao bagi membolehkan penyokong England menonton perlawanan susulan sekatan penerbangan antara United Kingdom (UK) dan Turki akibat pandemik Covid-19.
Badan bola sepak Eropah, UEFA sebelum ini mengumumkan sehingga 6,000 penyokong kedua-dua kelab dibenarkan masuk ke stadium.
Penyokong City dan Chelsea berharap Stadium Wembley, London akan menjadi pilihan venue baharu kerana perlawanan ini melibatkan dua kelab Inggeris.
“Kami terima keputusan kerajaan Britain meletakkan Turki dalam senarai merah untuk kunjungan dengan hati terbuka bagi melindungi masyarakat daripada dijangkiti virus selain ia juga cabaran menganjurkan final antara dua kelab Inggeris.
“Selepas sekian lama menerima kesan pandemik, adalah tidak bagus jika peminat tidak berpeluang menonton pasukan mereka bertarung dalam perlawanan terbesar musim ini,” kata Presiden UEFA, Aleksander Ceferin dalam satu kenyataan semalam.
Rakyat UK yang kembali dari negara yang disenarai merah diwajibkan menjalani kuarantin 10 hari di hotel yang ditetapkan.