Chong Wei kongsi kisah raya sedih bersama Ani - Utusan Malaysia

Chong Wei kongsi kisah raya sedih bersama Ani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bersimpati dengan nasib pembantu rumahnya yang sudah dua tahun tidak menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di Indonesia, Datuk Lee Chong Wei meraikannya dengan cara tersendiri.

Berkongsi pengalaman sedih tersebut di Facebook, legenda badminton negara itu berkata, dia cuba meredakan kerinduan pembantu rumahnya yang dipanggil Ani dengan membelikan baju raya untuk dikirim kepada keluarganya di Indonesia, selain memberi duit raya.

Kata Chong Wei, pada satu malam selepas seharian bermesyuarat secara dalam talian talian, dia terdengar esakan di dapur yang pada mulanya mencetus rasa cemas sebaik saja melangkah keluar dari bilik kerjanya.

Beliau kemudian terkejut mendapati suara tersebut milik pembantu rumahnya, Ani.

“‘Sir sir, sorry. Ani bukan sengaja nak kacau Sir tidur’, Ani memohon maaf di samping terperanjat atas kemunculanku. Telefon bimbit dipegang di tangan. Muka dua darah dagingnya terpapar jelas di skrin telefon. Satu putera, seorang lagi puteri,” cerita Chong Wei.

Kata Chong Wei, Ani bibik rumahnya sejak empat tahun lalu. Putih hati orangnya dan tahap dedikasinya tidak dipersoalkan.

“Sudah lama seisi keluarga menganggap Ani sebahagian keluarga. Memang setiap tahun Ani diberi peluang balik kampung di Indonesia tetapi disebabkan Covid-19 sudah dua tahun Ani tidak jumpa keluarga.

“Tergamam aku pada ketika itu. ‘Ani, saya faham Ani sedih. Apa lagi sudah mau Raya. Beritahu Sir apa Ani mahu? Sir and Ma’am akan cuba sedaya-upaya’, aku tanya.

“Tiada apa-apa Sir. Ani tahu komplikasi Covid sekarang. Memang susah mahu keluar masuk negara’, dijawab Ani sambil mengesat air mata di pipi,” kata Chong Wei.

“Aku seterusnya berkongsi perbualan ini bersama Mew Choo. Berpusing-pusing terus air mata bini saya, comel. Katanya, dia pun seorang ibu maka dia memang faham isi hati Ani.

“Keesokannya, Mew Choo membawa Ani membeli baju Raya untuk Ani sekeluarga dan dilampirkan bersama duit raya, baju raya berkenaan dihantar ke Indonesia. Harap-harap pemberian sedikit ini dapat mengubati kerinduan Ani kepada keluarganya,” katanya.

Dalam pada itu, Chong Wei yang juga pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik turut berdoa agar Malaysia dapat melakar kemenangan ke atas Covid-19 tahun depan sekali gus membolehkan rakyat menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung masing-masing.

“Walaupun tidak senang, tapi kita cuba bersyukur dengan apa yang ada di depan mata. Kami berdoa raya tahun depan, Covid telah pun ditumpaskan.

“Kami berdoa tahun depan, datuk-datuk dan nenek-nenek boleh berpeluk ketat anak-cucu. Makan raya bersama, bermain mercun bersama, bergaul mesra bersama. Kami berdoa., tak lama lagi, bersamalah semua.

“Saya sudahi dengan ungkapan seperti tahun-tahun lepas. Mohon maaf ya. Seperti badminton dimulakan, kosong-kosong. Sayang semua,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya