PETALING JAYA : Biarpun kesilapan Irfan Zakaria menjadi tumpuan ramai namun, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tetap yakin dengan kemampuan anak buahnya itu.
Dia percaya, pemain pertahanan negara itu tidak akan mengulangi kesilapan sama yang dilakukan ketika tewas 0-2 kepada Bahrain dalam aksi persahabatan di Riffa, kelmarin.
“Ya, memang kita nampak ia satu kesilapan individu daripada Irfan tetapi sebagai jurulatih memberitahu dia ia kesilapan yang boleh diperbaiki.
“Kami perlu yakin dengan Irfan, selain dia sudah bersama pasukan di pentas antarabangsa dan saya rasa dia sendiri sedar dengan kesilapan itu dan dia akan diberikan peluang jika pasukan memerlukannya,” katanya dalam sidang akhbar secara maya, semalam.
Malaysia bakal turun berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 4 Jun ini bagi baki aksi kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum bertemu Vietnam (12 Jun) dan Thailand (16 Jun).
Selepas dua aksi persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain menyaksikan enam gol dibolosi skuad negara dan hanya menjaringkan satu gol berbanding UAE yang melepaskan satu gol serta meledak 11 gol.
Statistik itu menunjukkan barisan skuad kendalian Bert van Marwijk berada di tahap terbaik dan memiliki jentera serangan yang cukup berbahaya.
“Dari segi statistik perlawanan pertahanan kita longgar terutama di bahagian kanan dan ia perlu cepat diperbaiki.
“UAE telah menang dengan jaringan besar ke atas India 6-0 dan Jordan 5-1. Itu menunjukkan mereka berada di tahap terbaik dan memiliki jentera serangan berbahaya terutama Ali (Mabkhout),” ujarnya.
Sementara itu, Cheng Hoe meluahkan rasa lega kerana semua pemainnya bebas daripada kecederaan dan hanya keletihan selepas sekian lama tidak bermain di pentas antarabangsa.