PETALING JAYA: Biarpun terdapat peningkatan ditunjukkan Harimau Malaya, namun pengendali mereka, Tan Cheng Hoe perlu meluangkan masa untuk membuat kerja rumah terhadap pemain naturalisasi.
Pandangan itu diluahkan bekas pengendali skuad kebangsaan, Azraai Khor Abdullah yang kecewa dengan prestasi pemain-pemain ‘import’ Malaysia ketika tewas 0-2 dalam aksi persahabatan menentang Bahrain semalam.
“Saya fikir Tan cheng Hoe kena buat kerja rumah dengan pemain naturalisasi ini. Saya nampak mereka kena kemaskan permainan beberapa hantaran.
“Karakter kalau bermain di kelab mungkin mereka boleh buat cara mereka, namun dalam skuad kebangsaan, anda kena bermain demi lambang di dada. Kena hati-hati dalam semua keadaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Azraai merujuk kepada kesilapan pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi yang memberi hantaran terlalu laju kepada Farizal Marlias dalam kotak penalti sehingga menyebabkan penjaga gol itu gagal mengawal keadaan, sebelum bolos kali kedua dengan Bahrain.
“Dia (Liridon) sepatutnya perlu pusing dan buat sepak keluar bola. Tidak kisah biarpun pihak lawan buat lontaran ke dalam, yang penting situasi selamat.
“Bagi saya tak penting pun kawalan cantik atau sebagainya dalam situasi sebegitu. Mereka perlu berhati-hati selepas ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi bekas jurulatih kebangsaan, B. Sathianathan percaya, berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jumaat depan, jauh lebih sukar dan Harimau Malaya tidak boleh mengulangi kesilapan sama.
“UAE ada penyerang yang hebat. Jangan bagi peluang mereka membuat hantaran lintang atau rembatan kencang dari jarak jauh.
“Saya tengok perlawanan tadi, ada beberapa ruang kosong ketika Malaysia bertahan dan itu sangat berbahaya.
“Saya harap mereka yang diturunkan menentang Bahrain semalam akan lebih berkeyakinan apabila menentang UAE. Itu sangat penting,” katanya.