PORTO: Chelsea merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali kedua selepas jaringan tunggal Kai Havertz membantu mereka menumpaskan Manchester City 1-0 hari ini, sekali gus memusnahkan impian Pep Guardiola untuk menjulang trofi ketiga dalam kariernya sebagai pengurus.
Havertz melakukan larian solo, menewaskan Ederson tidak minit sebelum tamat babak pertama dan permainan terhenti seketika selepas pemain Blues berlari ke hujung padang di Stadium Dragao untuk meraikan jaringan bintang Jerman itu.
Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel melompat dan menjulang tangan ke udara sejurus pasukannya disahkan sebagai juara, manakala City pula meratapi kekalahan serta kehilangan ketua pasukan, Kevin de Bruyne akibat kecederaan.
Biarpun menutup kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga keempat dengan 19 mata ditinggalkan City, namun Chelsea nyata lebih unggul berbanding skuad Citizens apabila menewaskan mereka buat kali ketiga berturut-turut dalam tempoh enam minggu.
Kekalahan ini turut memusnahkan impian Guardiola untuk merangkul kejuaraan treble selepas muncul juara EPL dan Piala Liga.
Beraksi di depan 14,000 penonton, Chelsea menamatkan penantian sembilan tahun untuk bergelar juara Eropah sekali lagi sejak kali terakhir merangkul kejuaraan pada 2012 dengan menumpaskan Bayern Munich.
City pula terpaksa menunggu selama 13 tahun hanya untuk melayakkan diri ke pentas akhir sejak kelab itu diambil alih oleh jutawan Abu Dhabi, Sheikh Mansour.
Mereka kini muncul pasukan ketujuh berturut-turut gagal merangkul kejuaraan berprestij itu dalam penampilan pertama di final, berkongsi malang yang pernah dirasai Paris Saint-Germain (PSG) ketika dibimbing oleh Tuchel musim lalu. – AFP