LONDON: Legenda bola sepak England, Ian Wright memilih Liverpool dan Leicester akan melengkapkan kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris, sekali gus meraih dua slot terakhir ke Liga Juara-Juara pada hari terakhir liga esok.
Bekas penyerang Arsenal itu menjangkakan Chelsea bakal terlepas kelayakan ke Eropah biarpun menghuni tangga ketiga dan memegang kelebihan satu mata ke atas pasukan keempat, Liverpool serta kelima, Leicester dengan mengumpul 67 mata.
“Saya fikir Leicester akan menewaskan Tottenham, Liverpool pula kalahkan Crystal Palace dan Aston Villa mengejutkan Chelsea.
“Kalau kita tengok jaringan-jaringan yang mereka (Chelsea) hasilkan dan tengok kepada peluang yang dicipta, mereka nampak tidak berpeluang.
“Dengan kehadiran Jack Grealish dan Ollie Watkins yang berada pada prestasi terbaik, Villa akan menjadi masalah besar buat Chelsea.
“Apa pun, kita tidak tahu perancangan Thomas Tuchel (jurulatih Chelsea). Yang pasti, Timo Werner (penyerang Chelsea) pasti memasuki perangkap ofsaid beberapa kali,” kata Wright dalam program televisyen Kally & Wrighty Show.
Chelsea akan bertemu Villa di tempat lawan, manakala Liverpool yang menerima kunjungan Crystal Palace di Anfield dan Leicester berdepan Tottenham di Stadium King Power bakal menerima sorakan 8,000 penyokong masing-masing.
Wright percaya, sokongan penonton turut memberi pengaruh besar dalam penutup kempen, dan ini antara sebab Chelsea kurang berkelebihan berbanding Liverpool atau Leicester.
Seorang lagi bekas bintang England, Joe Cole pula memilih bekas pasukannya, Chelsea dan Liverpool untuk melengkapkan kelompok empat terbaik.
“Pasukan seperti Chelsea dan Liverpool biasanya tidak akan memburukkan keadaan dalam keadaan genting. Saya percaya mereka akan mengekalkan kedudukan sekarang dengan memenangi perlawanan masing-masing,” katanya. – AGENSI