PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini menegaskan, berita bahawa penyertaan kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo telah ditolak oleh Jepun seperti yang tersebar dalam media sosial adalah tidak benar.
“MOM tidak menerima sebarang makluman daripada Jawatankuasa Pengelola Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 berkenaan penyertaan Kontinjen Malaysia ke Temasya tersebut. Kenyataan daripada @Twt_PutrajayaWP adalah TIDAK BENAR SAMA SEKALI,” tulis MOM dalam satu kenyataan sebentar tadi bersama tanda pagar #beritapalsu #fakenews.
Sementara itu, Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataannya turut menegaskan, Malaysia akan tetap menghantar atlet ke temasya berkenaan.
“Ini adalah berita palsu. Kontinjen Malaysia tetap akan ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020,” tulis MSN.
Walaupun dunia diserang pandemik Covid-19, namun Jepun akan meneruskan penganjuran temasya berkenaan yang dijadual berlangsung dari 23 Julai sehingga 8 Ogos.