SEREMBAN: Seorang bekas pemain bola sepak, turut sama tidak ketinggalan mengambil keberkatan bulan Ramadan dengan membantu golongan kurang berkemampuan.
Efendi Abd. Malek, 43, bekas penyerang Negeri Sembilan yang kini Pengerusi Persatuan Sukarelawan Sosial Al-Khair (PSSAK) berkata, idea asalnya menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah untuk membantu golongan memerlukan terutama mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Walaupun masih berkhidmat sebagai jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) namun pembabitan dalam NGO memberi peluang kepada saya untuk mendekati masyarakat dengan lebih dekat di pelbagai peringkat.
“Memang bukan mudah untuk bergerak aktif dalam aktiviti sukarela kerana perlu membahagikan masa dengan tugas hakiki tetapi dengan sokongan ahli keluarga ia boleh dilakukan dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas Program Projek Amal Raya di Taman Matahari Height, Senawang, di sini, semalam.
Menurut Efendi, memang menjadi hasratnya sekian lama untuk menggunakan masa lapang dengan sebaik mungkin bagi membantu masyarakat atau golongan yang kurang bernasib baik.
“Dalam program hari ini, seramai 26 keluarga asnaf daripada kariah Masjid Taman Senawang Jaya menerima bantuan barangan keperluan harian dan persiapan Aidilfitri. Alhamdullillah, program ini mencapai matlamatnya dan kami berharap bantuan ini serba sedikit dapat meringankan beban mereka.
“Program hari ini, saya juga dibantu oleh isteri, Khairolina Kamat dan kami mendapat kerjasama daripada beberapa individu yang turut menyumbang daripada segi kewangan dan barangan keperluan harian termasuk dari pihak Baitulmal Seremban dalam mengenal pasti penerima yang layak,” katanya.