MADRID: Misi Barcelona untuk merangkul kejuaraan La Liga musim ini dalam bahaya selepas seri 3-3 dengan Levante di Estadi Ciutat de Valencia hari ini.
Kegagalan meraih tiga mata menyaksikan anak-anak buah Ronald Koeman kekal di tangga kedua dengan 76 mata, satu mata di belakang Atletico Madrid yang memiliki kelebihan satu perlawanan.
Real Madrid yang mengekori di tangga ketiga dengan 75 mata turut mempunyai kelebihan satu perlawanan ke atas Barca.
Barcelona yang mempunyai baki dua perlawanan untuk dilengkapkan bermula baik apabila mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi Lionel Messi dan Pedri.
Bagaimanapun, Levante mempamer kebangkitan hebat sebaik saja separuh masa kedua bersambung apabila meledak dua gol pantas dalam tempoh tiga minit.
Jaringan Gonzalo Merelo pada minit ke-56, diikuti gol Morales minit ke-59 membolehkan tuan rumah menyamakan kedudukan 2-2.
Ousmane Dembele kembali meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-63, namun ketika permainan berbaki lapan minit untuk ditamatkan, Sergio Leon memastikan Levante meraih satu mata berharga selepas menyamakan kedudukan 3-3.
“Harapan kami untuk menjuarai liga kini bergantung kepada keputusan pasukan lain.
“Hari ini, kami kurang intensiti. Kami amat cemerlang pada babak pertama dengan mendahului dua gol.
“Bagaimanapun lawan mengejutkan kami dengan tiga gol pada separuh masa kedua. Kami terlalu santai selepas mendahului 2-0 dan melepaskan tiga gol dalam tempoh 45 minit,” kata Koeman.
Barcelona akan menerima kunjungan Celta Vigo, Isnin depan sebelum menutup kempen dengan menentang Eibar pada 24 Mei.