Atlet memanah kebangsaan meninggal dunia - Utusan Malaysia

Atlet memanah kebangsaan meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sambutan hari kedua syawal tahun ini membawa khabar duka buat komuniti sukan tanah air selepas pemanah kebangsaan, Haziq Kamaruddin disahkan meninggal dunia secara mengejut pagi tadi.

Haziq yang genap 28 tahun pada 4 Julai ini meninggal dunia di rumahnya di Kajang, Selangor.

Punca kematian hanya akan diketahui selepas polis selesai membuat bedah siasat di Hospital Kajang.

Haziq merupakan anggota skuad memanah recurve kebangsaan sejak 10 tahun dan pernah beraksi dalam Olimpik 2012 di London serta Rio 2016.

Haziq menjadi taruhan negara untuk layak ke temasya Tokyo dalam acara berpasukan seterusnya mengikuti jejak rakan pasukan, Khairul Anuar Mohamad.

Allahyarham merupakan pemilik empat pingat dalam siri Piala Dunia – dua perak (Shanghai 2011 dan Medellin 2013). Haziq juga meraih dua gangsa (Salt Lake City 2017 dan 2018).

Beliau juga anggota skuad recurve berpasukan lelaki yang memenangi perak dalam Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Difahamkan Haziq membuat permintaan khas untuk menyambut Hari Raya bersama isterinya yang bersendirian di rumah mereka di Kajang pada hari pertama perayaan.

“Saya diberitahu, Haziq tidak mempunyai sebarang masalah ketika kali terakhir berlatih bersama pasukan pada Selasa (11 Mei).

“Beliau sepatutnya ke Paris bulan depan untuk membantu pasukan recurve lelaki memburu tiga slot terakhir ke Sukan Olimpik Tokyo.

“Pemergiannya amat mengejutkan. Takziah buat keluarga Haziq,” kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

“Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. AlFatihah,” tulis Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia dalam Facebook hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN