LONDON: Kejayaan Unai Emery membawa Villarreal menjulang kejuaraan Liga Europa hari ini turut ‘mengusik’ jiwa penyokong Arsenal.
Jurulatih dari Sepanyol itu membantu Villarreal menjulang trofi Eropah pertama selepas menumpaskan Manchester United menerusi penentuan sepakan penalti 11-10 di Gdansk, Poland.
Itu bermakna, dia sudah merangkul empat gelaran Liga Europa dalam kariernya selepas tiga kali membantu Sevilla muncul juara.
Emery, 49, bagaimanapun gagal menunjukkan magis yang sama ketika membimbing Arsenal dari 2018 hingga 2019, malah pada 2019, Gunners dibelasah 4-1 oleh Chelsea dalam perlawanan akhir kejohanan yang sama.
Sejurus tamat perlawanan itu, penyokong Arsenal dan pengulas bola sepak memuji kebijaksanaan Emery dalam mencatur strategi.
“Saya fikir taktikal Unai Emery membawa kepada kemenangan ini.
“(Edinson) Cavani biasanya mencari ruang di belakang pertahanan tetapi hari ini, mereka langsung tidak memberi ruang kepadanya. Bruno (Fernandes) juga dikawal sepanjang masa.
“Tiada ruang buat Mason Greenwood, Marcus Rashford untuk melakukan gerakan. Anda harus memberi kredit kepada Unai Emery kerana taktikalnya berhasil,” kata bekas pertahanan United, Rio Ferdinand kepada BT Sport.
“Arsenal adalah kelab yang melucukan. Emery menang 3 trofi berturut-turut bersama Sevilla. Datang ke Arsenal, membuatkan kita dimalukan di Baku. Pergi ke Villarreal menyingkirkan kita dan kemudian muncul juara. Saya tidak suka situasi ini,” kata peminat Arsenal, Callum di Twitter.
“Kalau Arsenal kelab Sepanyol, kita sudah menang EL (Liga Europa) pada 2019 di bawah Emery,” tulis pemilik akaun Blair.
“Arsenal mempunyai aura buruk kerana satu-satunya kekalahan Emery dalam EL adalah ketika bersama kita,” kata El Limpiador.
“Emery menang malam ini dan itu membuktikan Arsenal telah disumpah,” kata Emmanuel Marchie pula.
“Masalah di Arsenal bukan Emery tetapi pemain,” tulis Deep.