LONDON: Legenda Manchester City, Sergio Aguero semakin hampir untuk menyertai Barcelona dan kembali ke liga yang telah menaikkan namanya sebagai pemain bola sepak.
Penyerang Argentina itu mengucapkan selamat tinggal kepada City dengan penuh emosi kelmarin, malah turut meledak dua gol dalam perlawanan terakhir bersama skuad The Citizens ketika membelasah Everton 5-0.
Pengurus City, Pep Guardiola berkata, dia gembira pemain berusia 32 tahun itu dapat bergandingan dengan nama-nama besar di Barcelona, termasuk rakan senegara, Lionel Messi.
“Mungkin saya boleh dedahkan satu rahsia. Dia (Aguero) semakin hampir untuk menyertai kelab yang amat dekat di hati saya, Barcelona.
“Dia akan bermain dengan pemain terbaik sepanjang zaman, Messi.
“Saya percaya dia pasti gembira di sana dan mungkin Barcelona akan menjadi semakin kuat,” kata Guardiola kepada BBC.
Aguero memulakan karier profesional dengan beraksi buat kelab negaranya, Independiente, namun dia semakin menonjol sepnjang lima musim bersama Atletico Madrid sebelum menyertai City pada 2011.