MANCHESTER: Gary Neville dan Roy Keane menggesa pemilik Manchester United, keluarga Glazer menjual kelab tersebut kerana mereka tidak lagi dialu-alukan oleh penyokong Red Devils.
Gesaan itu hadir selepas ribuan penyokong United ‘menyerang’ Old Trafford semalam hingga menyebabkan pertemuan Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool ditangguhkan.
Neville berharap, protes berterusan yang ditunjukkan penyokong akan memberi tekanan kepada Glazer dan membawa kepada perubahan pemilikan kelab.
“Penyokong sudah tidak mempercayai pemilik Manchester United sejak beberapa tahun lalu, malah ia menjadi semakin buruk beberapa minggu lalu terutama selepas insiden Liga Super Eropah (ESL).
“Terdapat rasa tidak puas hati yang besar. Mereka merasakan, cukup sudah cukup. Keluarga Glazer dengan sikap keras kepala telah berada di sini sejak bertahun lamanya.
“Mereka mengambil alih kelab pada 2004. Kami patut mempunyai stadium terbaik di negara ini atau di Eropah. Padang latihan terbaik, pasukan yang layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara secara konsisten setiap tahun.
“Cuba lihat kelab ketika ini. Stadium kami ketinggalan, berkarat dan reput. Kami gagal ke separuh akhir Liga Juara-Juara sejak 10 tahun, tidak menang liga lapan tahun,” kata legenda United, Neville.
Bagi bekas kapten United, Keane, tindakan menceroboh padang Old Trafford hanya permulaan kepada tekanan penyokong kepada Glazer jika keluarga kaya Amerika Syarikat yang berpangkalan di Florida itu masih enggan berundur selepas 17 tahun.
Adik-beradik Glazer, Avram, Joel dan Bryan terpaksa diiringi anggota polis untuk berlindung daripada diserang ratusan penyokong United di Old Trafford sejak beberapa hari lalu. – AGENSI