SEREMBAN: Ketua pasukan, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak muncul wira Negeri Sembilan apabila meledak dua gol untuk menewaskan Kelantan FC dalam aksi Liga Perdana malam ini.
Kemenangan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu membolehkan anak-anak buah K. Devan merampas kedudukan pendahulu liga daripada Sarawak United.
Tuan rumah berjaya memperoleh gol seawal minit keempat menerusi percubaan Zaquan dari dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol Kelantan FC, Mohd. Farizal Harun.
Memasuki babak kedua, pelawat berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi sepakan voli menarik ketua pasukan, Mario Arques Blasco pada minit ke-54 yang menewaskan penjaga gol, Damien Lim.
Tidak mahu mensia-siakan beraksi di laman sendiri, NSFC terus melancarkan serangan dan hasilnya mereka berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-69, sekali lagi hasil sentuhan Mohamad Zaquan Adha.
Kelantan FC cuba melancarkan beberapa serangan bagi mencari gol penyamaan namun pertahanan tuan rumah kental bertahan dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus NSFC berjaya meraih tiga mata.
Selepas lapan perlawanan, NSFC kini mengumpul 17 mata hasil hasil lima kemenangan, dua seri dan satu kali kalah.