MELAKA: Sama ada kontrak Zainal Abidin Hassan serta dua pembantunya akan ditamatkan atau terus membimbing Melaka United bakal ditentukan esok.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC (MUFC), Datuk Mohd. Saiful Md. Sapri berkata, Presiden kelab, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali akan mengetuai mesyuarat khas pengurusan tertinggi bagi mendengar laporan post-mortem ekoran prestasi buruk Sang Kancil dalam aksi Liga Super musim ini.
Selepas mengharungi sembilan perlawanan, Melaka menduduki tangga ketiga tercorot dengan mengalami tiga kekalahan, empat seri dan dua kemenangan.
“Saya telah diarahkan oleh presiden dan pemilik baharu, KenTeam Sdn. Bhd. untuk menyerahkan laporan post-mortem berhubung prestasi terkini skuad kendalian Zainal Abidin Hasan selepas tewas 2-3 kepada Selangor.
“Daripada sembilan perlawanan, pasukan kita sekadar menang dalam dua kali, seri empat dan tewas tiga. Lebih mengecewakan kita tewas dua kali di gelanggang sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kekalahan 2-3 kepada Selangor kelmarin menghadirkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat terutama selepas pasukan mendahului perlawanan dua kali.
Di media sosial, kempen mendesak Zainal dipecat digerakkan oleh penyokong Sa
ng Kancil, malah hantaran yang dimuatnaik Facebook Melaka United Fans menerima sambutan hebat.
Mohd. Saiful berkata, pihaknya memandang serius desakan peminat dan mengakui, sesuatu perlu dilakukan untuk menaikkan semula prestasi pasukan dengan baki perlawanan sedia ada.
Beliau akan mengadakan pertemuan dengan Zainal Abidin serta dua pembantunya untuk mendapat laporan berhubung prestasi Melaka dari perlawanan pertama hingga yang terakhir.
“Laporan itu akan saya bentangkan pada mesyuarat tertinggi MUFC Rabu ini. Nasib Zainal Abidin serta dua pembantunya akan dinilai dengan terperinci pada mesyuarat itu nanti,” ujarnya.
Katanya, kekalahan 2-3 kepada Selangor dipercayai kerana kurangnya disiplin sehingga membolehkan lawan meraih gol kemenangan menerusi pemain gantian, Syahmi Safari dua minit sebelum tamat perlawanan.