JERANTUT: Siapa sangka, pemain yang satu ketika pernah dijulang sebagai ‘wira Jerantut’, Muhamad Rodzlan Arbae kini kehilangan kaki yang selama ini digunakan untuk bermain bola sepak sebagai penjaga gol.
Rodzlan, 34, yang pernah mencuri tumpuan selepas prestasi cemerlangnya hampir mengejutkan Perak dalam Piala FA 2016 bukan saja tidak boleh lagi bermain bola, malah memerlukan kaki palsu bagi memudahkannya meneruskan kehidupan seharian.
Kaki palsu tersebut pula agak mahal sehingga mencecah RM40,000 dan bapa kepada empat orang anak itu memerlukan sumbangan orang ramai.
Mengimbau detik malang yang menimpa, Rodzlan berkata, pada pagi Jumaat lalu dia terlibat dalam kemalangan di bandar Jerantut ketika menaiki motosikal ke tempat kerja.
“Semasa kejadian, sebuah motosikal datang dari arah bandar Jerantut tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan meluru ke arah saya.
“Selepas kemalangan, saya terkejut melihat bahagian betis sehingga lutut kaki kiri cedera teruk dan sudah terbayang kaki akan dipotong.
“Jangkaan saya benar, sebaik saja tiba di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, kaki kiri terpaksa dipotong kerana berlaku pendarahan teruk,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Pada 2016, nama Rodzlan atau mesra disapa Alan menjadi sebutan peminat bola sepak di daerah ini apabila mempamer aksi hebat ketika menentang Perak di pusingan ketiga Piala FA.
Jerantut FA tumpas 1-2 kepada lawan yang dibarisi bintang profesional, namun ketangkasan Rodzlan membolehkannya muncul pemain terbaik.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata, tabung telah dilancarkan untuk membantu Rodzlan bagi tujuan rawatan dan kebajikan keluarganya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Rodzlan di talian 011-16533635 atau menerusi akaun Maybank (Muhamad Rodzlan) 156208224763.
“Dia antara pemain yang banyak memberikan sumbangan menaikkan sukan bola sepak daerah ini serta pernah membantu Jerantut FA dalam saingan Piala FA dan peringkat daerah,” ujarnya.