West Ham kalah, 2 pasukan gembira - Utusan Malaysia

West Ham kalah, 2 pasukan gembira

REAKSI penyerang Newcastle, Joelinton (kanan) selepas dikasari pertahanan West Ham United, Craig Dawson dalam aksi Liga Perdana Inggeris di St James' Park, Newcastle-upon-Tyne hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Misi Liga Juara-Juara West Ham United menerima tamparan hebat selepas tumpas 2-3 kepada Newcastle dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris yang penuh dramatik di St. James’ Park hari ini.

Kekalahan Hammers, yang mengharungi 54 minit permainan dengan 10 pemain membuka peluang kepada Chelsea dan Liverpool merampas tangga keempat terbaik, kedudukan yang memberi tiket ke saingan kelab elit Eropah musim depan.

Skuad bimbingan David Moyes itu berpeluang memintas Leicester City di tangga ketiga jika memenangi perlawanan tersebut, bagaimanapun mereka kini hanya dipisahkan  satu mata di depan Chelsea dan tiga mengatasi Reds dengan pesaing mereka memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Layangan kad merah kepada Craig Dawson yang mengutip dua kad kuning antara punca West Ham gagal meraih keputusan diharapkan.

Kelab London itu bagaimanapun menunjukkan semangat juang tinggi untuk mengejar Newcastle biarpun ketinggalan 0-2 menerusi gol sendiri Issa Diop pada minit ke-36 dan Joelinton, minit ke-41.

Diop menebus kesilapan awal dengan merapatkan jurang 1-2 pada minit ke-73 sebelum sepakan penalti Jesse Lingard 10 minit sebelum tamat perlawanan menyamakan kedudukan 2-2.

Ketika permainan berbaki lapan minit untuk ditamatkan, pemain gantian, Joe Willock muncul wira West Ham apabila menanduk gol kemenangan tuan rumah.

Kemenangan itu membolehkan Newcastle mendaki ke tangga ke-15 liga dengan 35 mata.

West Ham kekal di tangga keempat, namun Liverpool boleh memintas jika mengalahkan Leeds United, pagi Selasa ini.

Chelsea pula mampu merampas kedudukan keempat sekiranya menang ke atas Brighton, Rabu ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya