IMOLA, Itali: Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel mungkin memiliki ‘tuah’ dalam Grand Prix (GP) Emilia Romagna selepas mendapat ‘restu’ kucing terkenal di Litar Imola.
Tidak diketahui sejak bila haiwan tersebut menjadi terkenal, namun kucing yang diberi nama Formulino, diangkat sebagai penjaga paddock di Litar Imola.
Formulino sering berkeliaran dan menjadi pengunjung setia setiap garaj pasukan, selain mengawasi mereka yang memasuki halamannya.
Vettel ketika sedang ditemuramah, secara tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran Formulino, sebelum wartawan Ted Kravitz memberitahu kehadiran kucing itu akan memberi tuah kepadanya.
“Saya tidak suka kucing tetapi mungkin saya sukakan kucing yang ini,” kata Vettel semalam.
Berbeza dengan Vettel, juara Formula Satu (F1) dunia, Lewis Hamilton bermain dengan Formulino sewaktu kucing itu ‘menjenguk’ garaj pasukan Mercedes.
Populariti Formulino kini sebaris dengan haiwan peliharaan terkenal pelumba F1, termasuk anjing Hamilton, Roscoe selain kucing dan kuda milik pemandu Toro Rosso, Alexander Albon. – AGENSI