LONDON: Pep Guardiola percaya, Manchester United masih mampu mengancam pasukannya menuju ke hujung persaingan biarpun kemenangan 2-1 ke atas Aston Villa hari ini mengukuhkan kedudukan Manchester City selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris.
City bangkit daripada ketinggalan untuk menang di Villa Park menerusi jaringan Phil Foden dan Rodri, sekali gus mengatasi United dengan kelebihan 11 mata.
Itu bermakna, dua lagi kemenangan dan satu seri daripada lima aksi terakhir sudah cukup memberi kejuaraan Liga Perdana ketiga buat City dalam tempoh empat tahun.
Bagaimanapun kata Guardiola, dalam bola sepak apa saja boleh berlaku, sambil mengimbau detik 2012 di mana United ketika itu mensia-siakan kelebihan mendahului lapan mata ketika saingan berbaki enam perlawanan untuk membolehkan pasukannya muncul juara di hari terakhir.
“United kini berada pada prestasi terbaik, mereka hanya menunggu kami melakukan kesilapan, jadi kalah dalam mana-mana baki saingan akan menjadikan keadaan sangat bahaya.
“Kami berhak muncul juara musim ini selepas beraksi dengan amat baik sepanjang musim, jadi kami harus mengelak daripada membuat silap pada lima baki saingan,” katanya.
Skuad kendalian Guardiola bagaimanapun dikejutkan dengan gol pembukaan John McGinn hanya selepas 20 saat sepak mula.
Begitupun, City bangkit dengan jaringan penyamaan Foden pada minit ke-22, disusuli gol Rodri, minit ke-40.
Perlawanan berakhir dengan kedua-dua pasukan beraksi 10 orang apabila pertahanan City, John Stones dibuang padang kerana mengasari Jacob Ramsey sebelum rehat, dan pemain Villa Matty Cash menerima kad kuning kedua pada minit ke-57.