UniKL selangkah julang kejuaraan treble - Utusan Malaysia

UniKL selangkah julang kejuaraan treble

KAPTEN UniKL, Marhan Jalil (kiri) dan ketua pasukan THT, Faizal Saari bersama Piala TNB menjelang pertembungan akhir malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UniKL hanya selangkah lagi untuk mengulangi kejayaan treble musim lalu apabila membuat perhitungan dengan Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam final Piala TNB malam ini.

Skuad kendalian Megat Azrafiq Megat Termizi itu sebelum ini berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Piala Sumbangsih selepas menampilkan aksi cemerlang dengan rekod tanpa kalah.

Walaupun turun sebagai pilihan untuk muncul juara, terutama selepas menewaskan THT 4-2 dalam saingan liga, namun Megat Azrafiq tidak terlalu selesa kerana percaya, ancaman sebenar akan hadir pada hari perlawanan.

“Perlawanan akhir adalah cabaran baharu. THT menunjukkan peningkatan luar biasa dalam beberapa aksi terakhir dan saya yakin pertemuan esok pasti sengit,” kata Megat ­Azrafiq.

UniKL mara ke final selepas menyingkirkan juara tujuh kali, TNB secara agregat 4-1.

THT MAHU LUNAS DENDAM
Kekalahan 2-4 kepada UniKL dalam final tahun lalu masih menghantui pemain THT, Shahrun Nabil Abdullah.

Shahrun, 36, sudah sembilan kali menjulang Piala TNB bersama tiga pasukan berbeza dan mahu menutup karier hoki ­dengan kemenangan.

“Peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang walaupun kami kalah kepada UniKL di ­peringkat liga.

“Piala TNB dan liga dua pentas berbeza.

“Kami akan memberi aksi terbaik untuk membalas dendam bukan saja atas kekalahan dalam saingan liga, malah perlawanan akhir tahun lalu,” kata bekas kapten skuad kebangsaan itu.

THT yang dibimbing jurulatih berpengalaman, Muhammad Dharma Raj Abdullah turun dengan reputasi selaku juara Piala TNB lima kali dari 2014 hingga 2017 selain 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN