LONDON: Gareth Bale mengkritik pendekatan berhati-hati dan negatif bekas pengendali Tottenham, Jose Mourinho sejurus membantu pasukan itu menumpaskan Southampton 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris pagi tadi.
Spurs memecat Mourinho, Isnin lalu ekoran prestasi hambar mereka menghuni tangga ketujuh liga dan tersingkir dari Liga Europa.
Tottenham keciciran 20 mata di bawah bimbingan Mourinho, malah jurulatih dari Portugal yang terkenal dengan julukan The Special One itu sering dikritik kerana gemar menggunakan corak permainan bertahan.
Ketika ditanya apakah perubahan yang perlu dilakukan Tottenham selepas pemecatan Mourinho, Bale berkata: “Lebih banyak bermain di depan. Kami mahu menyerang kerana itulah yang dilakukan kelab besar. Kami ada ramai pemain yang hebat.”
Bale yang diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan berkata, pasukannya perlu memberi tekanan berterusan kepada lawan dan bermain dengan tempo yang tinggi.
Pada ketika Harry Kane dan Son Heung-min, penjaring gol kemenangan Spurs ke atas Southampton menggunakan media sosial untuk mengucapkan terima kasih kepada Mourinho, Bale dan majoriti pemain skuad utama tidak mengeluarkan sebarang komen.
Bale sebaliknya memuji Ryan Mason, pengendali sementara berusia 29 tahun yang memberi motivasi kepada pasukan pada waktu rehat
Kemenangan ke atas Southampton membolehkan Spurs memintas Liverpool di tangga keenam liga.