Tolonglah beri kelonggaran - Utusan Malaysia

Tolonglah beri kelonggaran

HAFIZH SYAHRIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah berharap kerajaan memberi kelonggaran kepada atlet yang baru tiba dari luar negara untuk menjalani kuarantin di rumah sendiri berbanding hotel.

Jelas Hafizh, 27, sebagai contoh pergerakannya agak terbatas jika menjalani kuarantin di hotel, sekali gus menyukarkannya untuk melakukan persiapan menjelang Grand Prix (GP) Sepanyol, 2 Mei nanti.

Hafizh yang baru tiba di Malaysia selepas tamat GP Portugal Ahad lalu berkata, dia perlu menjalani kuarantin seperti biasa meskipun telah lengkap menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech.

“Seronok tengok atlet Eropah yang balik dari menyertai perlumbaan terus menjalani latihan. Tiada kuarantin sebab mereka telah menjalani ujian, negatif sebelum tiba ke rumah.

“Sebab itu kebanyakan atlet Eropah lebih berjaya dari kita kerana negara mereka faham tentang atlet.

“Kita tidak minta pun dilayan seperti orang atasan atau raja tetapi biarlah ada kelonggaran buat atlet jalani latihan atau kuarantin di rumah.

“Tujuan kita balik bukan untuk seronok-seronok seperti orang biasa tetapi atas sebab-sebab tertentu. Kos di Eropah sangat tinggi, bila atlet tidak pamer aksi terbaik kita juga kena kritik.

“Campak atlet ke hotel kuarantin, lepas itu ada perlumbaan minggu depan, apa atlet boleh buat dalam hotel se­minggu.

“Tidur makan sajalah mampu buat, nak tingkatkan prestasi jauh lagilah jawabnya. Kalau di rumah ada segala perlatan untuk jalani latihan,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram miliknya hari ini.

Difahamkan, ketika ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang membantu pelumba NTS RW Racing GP itu untuk mendapat kebenaran bagi menjalani latihan di rumah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya