KUANTAN: Jurulatih Sri Pahang, Dollah Salleh tidak dapat menyembunyikan rasa gusar untuk bertemu Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman malam ini.
Dollah risau dengan prestasi anak-anak buahnya yang belum mencapai tahap diinginkan walaupun berpeluang berlatih panjang ketika liga berehat bagi memberi laluan kepada latihan skuad kebangsaan.
Sepanjang tempoh itu, Sri Pahang sempat mengadakan sesi perlawanan persahabatan dengan Kelantan United di Stadium Darul Makmur.
Walaupun berjaya menewaskan Kelantan United 4-0 tetapi Dollah masih risau dengan prestasi pemain terutama posisi serangan yang diketuai Yevhen Bokhashvili dan Pedro Henrique.
“Prestasi pemain masih menjadi kebimbangan saya kerana mereka masih belum menunjukkan prestasi diharapkan,” kata Dollah kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sudah pasti Dollah menuntut yang terbaik dari kesebelasan skuad Tok Gajah kerana perlu menang untuk mengelak diletakkan di zon penyingkiran Liga M.
Kemenangan menentang anak buah Aidil Sharin Sahak amat ditagih selepas hanya memiliki rekod satu kemenangan dari empat perlawanan walaupun menyedari tugas itu bukan mudah.
Dollah berpeluang untuk memilih kesebelasan terbaik pemain Sri Pahang yang bebas daripada kecederaan atau kad kuning untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.
Bekas pemain kebangsaan itu tahu keupayaan pemain berpengalaman Kedah seperti Baddrol Bakhtiar, Fayadh Zulkiffli dan tonggak import mereka, Kipre Tchetche untuk meleburkan impiannya.
Pahang terus meletakkan kepercayaan kepada Bokhashvili yang sudah meledak dua jaringan gol semasa bertemu Melaka dan terbaru ketika bertemu Kelantan FC disamping mengharap bantuan Pedro dan Lee Tuck serta Herold Goulon.
“Bagaimanapun saya harap pemain dapat memberi persembahan terbaik dan dapat menggunakan setiap peluang terbaik untuk menang,” katanya.
Sri Pahang yang kini menduduki tangga kedua tercorot liga tumpas 1-0 kepada Petaling Jaya City dalam aksi terakhir liga, 21 Mac lalu.