PETALING JAYA: Naib Presiden I Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Abdul Halim Suleiman menyifatkan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) tidak profesional kerana mahu mengambil tindakan terhadap persatuan sedangkan masalah sebenar melibatkan presiden sahaja.
Katanya, Astaf tidak berpuas hati kerana Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail masih belum memberi sebarang jawapan mengenai empat pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya namun mereka tidak wajar mengheret persatuan dalam permasalahan itu.
“Bagi saya tindakan menggantung PSM tidak betul. Mereka mahu mengambil tindakan terhadap Tok Mat, jadi apa kena mengena dengan PSM? Kesalahan Tok Mat adalah kesalahan individu dan bukannya melibatkan persatuan.
“Tok Mat ada 14 hari untuk menjawab pertuduhan, jangan jadikan alasan Tok Mat tidak menjawab pertuduhan untuk menggantung PSM kerana tindakan itu salah.
“Saya nampak perkara ini sudah menjadi masalah peribadi antara Astaf dan Tok Mat. Cara mereka ini menampakkan mereka ini tidak profesional. Kena ingat, sekiranya PSM digantung, pembangunan sepak takraw akan berkubur,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, Astaf menggantung PSM daripada sebarang aktiviti sepak takraw kerana kegagalan Ahmad memberi jawapan terhadap empat pertuduhan yang dikenakan terhadap dirinya dalam tempoh 14 hari.
Setiausaha Agung Astaf, Boonchai Lorhpipat berkata, tindakan itu diambil kerana PSM gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan badan induk Asia itu dan bakal dikenakan hukuman termasuk penggantungan seumur hidup.
Ahmad yang juga Presiden PSM yang kini digantung daripada jawatan itu sebelum ini didakwa empat pertuduhan termasuk pelanggaran Artikel 5.5 undang-undang Astaf dengan menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dengan harapan mereka akan campur tangan terhadap keputusan pemilihan yang berlangsung 1 Mac lalu.