LIVERPOOL: Liverpool mempamer aksi bertenaga, seolah-olah beraksi di depan 55,000 penonton di Anfield, malangnya mereka mensia-siakan banyak peluang, sekali gus tersingkir dari Liga Juara-Juara.
Anak-anak buah Jurgen Klopp sekadar seri 0-0 dalam suku akhir kedua hari ini, dan ditunjukkan jalan keluar menerusi agregat 1-3.
Mohamed Salah, Georginio Wijnaldum, Sadio Mane, James Milner, Roberto Firmino dan Diogo Jota semuanya mempunyai peluang untuk meledak gol.
Juara 13 kali, Real pula dipaksa bertahan dalam sebahagian besar permainan dan hanya sesekali melancarkan percubaan.
Begitupun percubaan yang tersasar, diselamatkan penjaga gol atau pertahanan lawan menyebabkan Reds gagal mencari kemenangan yang diperlukan.
Tiada lagi magis 2019, yang menyaksikan Liverpool bangkit daripada ketinggalan 0-3 untuk membenam Barcelona 4-0 dan mara ke final secara agregat 4-3.
Real beraksi jauh dari prestasi terbaik, namun aksi hambar itu tidak menghalang mereka untuk menempah pertemuan dengan Chelsea dalam separuh akhir, sekali gus melebarkan rekod 14 perlawanan tanpa kalah.
Liverpool sebaliknya berada dalam bahaya gagal layak ke kejohanan kelab elit Eropah itu musim depan dengan menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris.
Reds kini tiada pilihan kecuali memenangi tujuh baki saingan sambil berharap pencabar mereka seperti Leicester, Chelsea, West Ham dan Tottenham terus keciciran mata.