SHAH ALAM: Tandukan pertahanan Petaling Jaya City (PJ City), M.Tamilmaran lapan minit sebelum berakhir waktu perlawanan di Stadium UiTM, Shah Alam sudah cukup menghadiahkan tiga mata buat pasukannya.
Kekalahan itu terus meletakkan UiTM terperosok di dasar liga apabila hanya mengutip satu mata selepas mengharungi 10 perlawanan musim ini yang turut menyaksikan pengendalinya, Frank Bernhardt direhatkan pada perlawanan ketujuh.
Beraksi di laman lawan, PJ City terlebih dahulu memiliki peluang untuk mencipta gol menerusi percubaan Syahmi Zamri pada minit kesembilan namun tampanan lemahnya mudah ditolak keluar penjaga gol UiTM, Azfar Arif Mohd Sukri.
Tersentak dengan serangan itu, giliran tuan rumah pula menguji penjaga gol pelawat, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi menerusi rembatan kencang penyerang import UiTM, Nana Poku pada minit ke-15 namun berjaya ditepis keluar.
Lapan minit kemudian, UiTM sekali lagi hampir meraih jaringan pembukaan namun rembatan kencang Khairul Izuan Rosli pula sekadar melewati palang dan menyaksikan babak pertama berakhir tanpa jaringan.
Ketika perlawanan seakan bakal berkesudahan tanpa jaringan, tandukan Tamilmaran yang menerima hantaran menerusi sepakan sudut yang dilakukan A.Salamon Raj sudah cukup menghadiahkan kemenangan ketiga buat PJ City musim ini.
Skuad kendalian P.Maniam yang dibarisi pemain tempatan kini menghuni tangga keenam Liga Super selepas mengutip 14 mata manakala UiTM kekal dikedudukan terakhir dengan satu mata.