MELAKA: Jaringan pemain gantian, Syahmi Safari dua minit sebelum tamat permainan membantu Selangor menumpaskan Melaka United (MU) 3-2 dalam aksi Liga Super yang mendebarkan sebentar tadi.
Yang pasti penyokong tuan rumah amat kecewa anak-anak buah Zainal Abidin Hassan gagal mengutip tiga biarpun dua kali mendahului di Stadium Hang Jebat.
Kekalahan ketiga musim ini meletakkan Melaka di tangga ketiga tercorot liga dengan tujuh mata.
Selangor pula mendaki ke kedudukan kelima hasil kemenangan keempat daripada sembilan perlawanan.
Pada minit ke-20, tuan rumah nyaris meledak jaringan awal apabila sepakan percuma penyerang, Sony Norde dari luar kotak penalti beberapa inci keluar dari tiang gol sebelah kiri.
Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-24 namun sepakan kencang pemain pertahanan, Wan Amirul Afiq ditepis keluar oleh penjaga gol Selangor, Mohd. Khairulazhan Mohd. Khalid.
Pada masa kecederaan babak pertama, MU memperoleh sepakan penalti apabila pertahanan pelawat menjatuhkan S. Kumaahran.
Stefan Nikolic yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan itu tidak menghadapi masalah menyepak masuk ke penjuru kiri pintu gol Selangor.
Begitupun 10 minit babak kedua bermula Selangor berjaya mengikat kedudukan 1-1 menerusi tandukan Ifedayo Olusegun hasil hantaran ketua pasukan, Brendan Gan.
Kedudukan seri 1-1 tidak bertahan lama apabila MU kembali mengatasi Selangor selepas pemain tengah, Ahmad Syamin Yahya menanduk masuk gol kedua pada minit ke-58 hasil hantaran Kumaahran.
Selangor yang menggandakan asakan akhirnya berjaya mengikat kedudukan 2-2 apabila Ifedayo sekali lagi menanduk masuk gol kedua peribadi pada minit ke-70.
Ketika saingan hanya berbaki dua minit, rembatan Syahmi memberi kemenangan buat Red Giants.