PETALING JAYA: Benar setiap jurulatih mempunyai ‘DNA’ bola sepak tersendiri tetapi sukar untuk diaplikasikan dalam pasukan-pasukan senior di Liga Malaysia (Liga M), pendek kata melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Bekas jurulatih Harimau Malaya, B Sathianathan menyuarakan pandangan berkenaan selepas melihat ‘trend’ bola sepak Malaysia ketika ini setiap kali membawa jurulatih baharu, mahu mengubah corak permainan atau ‘DNA’ dalam pasukan senior.
Tegasnya, perubahan DNA mungkin lebih mudah diterapkan bagi pemain di peringkat bawah umur dan skuad pembangunan akar umbi berbanding skuad senior.
“Dalam pasukan senior, kalau kita mahu tukar DNA memang susah. DNA itu biarlah dilaksanakan bermula dari skuad bawah 12 tahun, 14 tahun atau akar umbi.
“Kita tidak boleh ikut Brazil atau ikut mana-mana negara sebab negara kita ini terdiri dari orang-orang kita, dia (pemain) makan tidur dekat Malaysia, bukan dekat Brazil.
“Tapi kita boleh ikut cara yang betul untuk bola sepak, itu saja. DNA ini senang, ia adalah ‘trend’ bola sepak sekarang. Orang membawa perubahan adalah mereka yang membawa bola sepak moden, itu DNA terbaik.
“Tapi ia sesuai atau tidak dengan pemain kita, dengan kemahiran dan apa perubahan yang kena buat? Kalau dengan budak muda senang nak ubah, tapi dengan orang tua (pemain senior) susah.
“Kalau main ikut taktikal bolehlah tukar macam kita main 3-4-3 atau 4-3-3. Tapi kalau nak ubah DNA, nak main cara Brazil atau Jerman, susah. Main cara Jerman pun kena (kalah) juga dengan pasukan lain,” kata Sathianathan.
Beberapa pasukan Liga M sebelum ini dikatakan akan membawa perubahan DNA dalam pasukan masing-masing terutama Selangor yang akan tampil dengan DNA Jerman.
Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) menegaskan untuk membentuk pasukan bagus dan mengikut acuan seseorang jurulatih, mereka perlu diberikan lebih masa.
“Bermain bola sepak yang transisi, ini memang semua sudah ada. Habis Terengganu pakai DNA apa? Mereka menang juga dan mereka muncul pasukan pertama yang kalahkan JDT.
“Senang saja, kalau seorang jurulatih yang bagus diberi masa untuk membina pasukan, dia akan tahu dalam dua tahun pasukan itu akan jadi terbaik,” jelasnya.