LONDON: Jose Mourinho dipecat Tottenham hanya selepas 17 bulan membimbing kelab Liga Perdana Inggeris tersebut.
Ini bukan kali pertama pengendali dari Portugal itu berdepan situasi ‘dipecat’, malah tiga pemecatan terdahulu berlaku ketika dia membimbing kelab England – Chelsea (dua kali) dan Manchester United.
Spurs mengalami musim yang malang tahun ini selepas kelab London itu terkeluar dari kelompok lima terbaik liga dalam mata selain tersingkir daripada saingan Liga Europa.
Mourinho berdepan tekanan yang hebat susulan prestasi hambar anak buahnya dan kini ditunjukkan jalan keluar oleh pemilik kelab, Deniel Levy.
Bekas pemain tengah Spurs, Ryan Mason dijangka mengambil alih tempat Mourinho sebagai pengurus sementara sambil dibantu Chris Powell sehingga tamat saingan hujung musim ini.
Pengurus tetap bagi menggantikan Mourinho akan diumumkan pada penghujung musim. – AGENSI