MADRID: Real Sociedad menjulang Piala Raja Sepanyol buat kali ketiga selepas menumpaskan Basque Athletic Bilbao 1-0 pagi tadi dalam aksi final yang ditunda dari musim lalu.
Kapten Sociedad, Mikel Oyarzabal yang menyertai akademi remaja kelab pada usia 14 tahun menjaringkan sepakan penalti kemenangan di Seville, yang berlangsung tanpa kehadiran penonton.
“Hari yang menakjubkan. Anda mengingati semua orang, mereka yang mahu berada di sini, mereka yang meninggalkan kita.
“Ini adalah hadiah untuk semua, keluarga saya, kawan-kawan saya. Ia amat bermakna,” kata Oyarzabal.
Jaringan Oyarzabal membolehkan Real Sociedad memenangi Piala Raja Sepanyol pertama dalam tempoh 34 tahun, sekali gus menafikan Athletic Bilbao daripada merangkul kejuaraan ke-24.
Bagaimanapun Athletic berpeluang memburu gelaran ke-24 itu dalam tempoh dua minggu lagi pada final musim ini bertemu Barcelona di gelanggang sama.
Final musim lalu itu ditunda dengan harapan ia dapat dihadiri penonton, sebaliknya ia terpaksa dilangsungkan jauh di Seville dengan hanya 350 tetamu serta wartawan dibenarkan masuk. – AFP