MANCHESTER: Siapa buat Manchester United marah?
Itu reaksi penonton Red Devils yang teruja selepas melihat pasukan itu membelasah Roma 6-2 dalam separuh akhir pertama Liga Europa pagi tadi.
Kemenangan di Old Trafford bukan saja membawa anak-anak buah Ole Gunner Solskjaer selangkah ke final, malah memahat sejarah tersendiri.
United muncul pasukan pertama selepas Real Madrid meledak enam gol di separuh akhir kejohanan peringkat Eropah.
Edinson Cavani dan Bruno Fernandes masing-masing meledak dua gol, manakala Paul Pogba dan Mason Greenwood turut mencetak nama sebagai penjaring.
Roma kini berdepan tugas berat untuk bangkit dalam separuh akhir kedua di Stadium Olimpico minggu depan.
“Sejak Chris (Smalling) bermain buat Roma musim lalu kami sudah menganalisis permainan mereka, malah sejak diundi menentang mereka kami amat bersedia.
“Semua sangat teruja untuk mara ke final, merangkul kemenangan pertama. Dari pasukan hingga peminat, semua amat bersemangat,” kata Solskjaer.
United tidak pernah merangkul sebarang kejuaraan sejak menjuarai Liga Europa 2017 di bawah Jose Mourinho.