SHAH ALAM: Selangor tidak berdepan masalah untuk mengatasi pasukan tercorot, UiTM selepas melakar kemenangan 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam, sebentar tadi.
Kemenangan kedua musim ini kembali membangkitkan semangat skuad kendalian Karsten Neitzel yang tunduk 0-2 kepada Pulau Pinang pada aksi kelima, sebelum liga berehat selama sembilan hari pada 20 Mac lalu.
Oliver Buff membuktikan sentuhan penyudahnya apabila membuka tirai jaringan buat Red Giants pada minit ke-13 menerusi rembatan voli dalam kotak penalti lawan selepas menerima hantaran Mukhairi Ajmal Mahadi.
Namun, tuan rumah berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-37 menerusi Rafie Mat Yaacob namun tandukannya tersasar.
Sebaliknya, pasukan pelawat pula berjaya menggandakan jaringan dan kali ini menerusi tolakan mudah yang dilakukan Ifedayo Olusegun selepas menerima hantaran lintang rendah daripada Mukhairi pada minit ke-40 untuk masuk ke bilik persalinan dengan kelebihan 2-0.
Enam minit bermula babak kedua, pemenang kasut emas musim lalu, Ifedayo berpeluang mencetak gol kedua peribadinya namun tandukan tersasar melepasi palang tuan rumah.
Pasukan kendalian Frank Bernhardt turut mempunyai peluang keemasan untuk merapat jurang jaringan tetapi rembatan Nana Poku menerusi bola mati sekadar melewati palang pada minit ke-63.
Meskipun kedua-dua pasukan saling melancar serangan ke kubu lawan masing-masing namun dikecewakan dengan sentuhan terakhir jentera serangan dalam mendapatkan gol.
Selangor membuka tirai liga dengan menundukkan Sri Pahang 3-1 namun prestasi mereka merosot ketika tewas kepada Terengganu FC 3-1, dan sekadar seri dalam dua perlawanan menentang Kuala Lumpur City dan Johor Darul Ta’zim.