SEREMBAN: Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan berkata, Sarawak United adalah pencabar utama pasukannya dalam memburu kejuaraan Liga Perdana, sekali gus tiket automatik ke saingan Liga Super 2022.
Katanya, pertembungan menentang Sarawak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu ini dijangka sengit dan menarik.
“Kami akan turun habis-habisan pada perlawanan itu, kalau kita dapat tiga mata saya rasa kedudukan di tangga teratas lebih kukuh.
“Saya rasa dengan kemenangan ini mungkin paras keyakinan dalam kalangan pemain akan bertambah baik sebelum perlawanan bertemu Sarawak United FC,” katanya selepas menyaksikan Negeri Sembilan menewaskan Kelantan FC 2-1 kelmarin.
Dalam aksi itu, kedua-dua gol tuan rumah disempurnakan ketua pasukan, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak manakala Kelantan FC memperoleh gol saguhati menerusi, Mario Arques Blasco.
Sementara itu, menurut Devan, selepas mengharungi lapan perlawanan, posisi di barisan pertahanan sedikit menggusarkannya.
“Aspek yang perlu saya beri perhatian ialah kita boleh jaringkan gol dalam masa yang sama kita boleh bolos gol walaupun kita bermain di tempat sendiri.
“Jadi dari segi itu kalau kita dah boleh bertahan dengan baik dan tidak bolos gol dan mungkin kita ada peluang untuk menang setiap kali kita turun di Paroi,” katanya.