KUALA NERUS: Pengendali Terengganu, Nafuzi Zain mengakui tugas getir menanti pasukannya dalam kunjungan ke Stadium Sultan Ibrahim bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) esok.
Nafuzi berkata, pemainnya perlu berada pada tahap keyakinan terbaik untuk menyerap asakan tuan rumah yang merupakan juara Liga Super tujuh musim berturut-turut.
Katanya, skuad Harimau Selatan berada pada kelas tersendiri dengan barisan pemain berpengalaman selain diperkuatkan tonggak import bertaraf dunia.
“Semua tahu JDT pasukan serba lengkap dan untuk membandingkan kualiti pemain atau corak permainan, kita bukan tandingan mereka, tetapi saya percaya jika kita yakin dalam penguasaan bola maka keputusan positif mampu dicapai,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Nafuzi berkata, tempoh seminggu sejak perlawanan akhir bertemu Kuala Lumpur City dimanfaatkan sebaiknya untuk memperkemaskan rentak Sang Penyu, bagaimanapun kesebelasan utama belum ditentukan buat masa ini.
“Yang penting, kami yakin dan percaya pada diri sendiri, terpulang kepada pemain untuk membuktikan sesuatu di atas padang. Selagi wisel penamat 90 minit belum berbunyi, selagi itu Terengganu akan berjuang habis-habisan,” katanya.
Terengganu kini menduduki tempat kedua, lima mata di belakang pendahulu Liga Super, JDT selepas sembilan perlawanan dengan mengumpul 18 mata.