PETALING JAYA: Tidak menolak pandemik Covid-19 telah menyebabkan kekangan kewangan dan masalah tunggakan gaji pemain beberapa kelab, namun Shebby Singh menganggap ‘alasan’ tersebut tidak boleh digunakan pada masa akan datang.
Pengkritik bola sepak negara itu berkata, ini kerana masalah tunggakan gaji sudah lama berlaku sebelum berlakunya kerja-kerja pemisahan Persatuan (FA) ke kelab (FC) untuk setiap pasukan Liga Malaysia (Liga M).
“Walaupun swasta, ia hanya pertukaran nama tetapi yang lain-lain sama inilah buktinya (masalah tunggakan gaji berlaku) lagi.
“Mungkin tiba masa pada yang terlibat dalam isu ini jangan memalukan nama negara, kalau tidak berupaya tinggalkan sahaja jangan duduk situ tukar nama itu, ini tetapi kekal (masalah) sama.
“Ketika ini kebanyakan pasukan menggunakan isu pandemik Covid-19 dan mungkin ia satu alasan kukuh tetapi sampai bila nak gunakan sedangkan masalah ini sudah berlaku sebelum pandemik lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Saingan Liga Semi Pro diperkenalkan pada 1989 sebelum bola sepak tempatan menjadi profesional sepenuhnya pada 1994 di mana ia mula dikenali sebagai Liga M sebelum saingan Liga Super pada 2004.
Tegasnya, mungkin tidak salah untuk kita kembali buat sementara waktu Liga M kepada era Semi Pro sekiranya keadaan memerlukan bagi membersihkan imej bola sepak negara.
“Saya rasa kita mungkin kena kembali kepada liga Semi Pro. Kita ambil dua, tiga atau lima tahun akan datang sebelum kembali semula ke status profesional.
“Bak kata perpatah Inggeris sometimes you have to take two steps back to take two forward.
“Adakah memalukan? Tidak…lebih memalukan jika gaji tidak bayar dan status tetap profesional. Bersihkan imej dulu, bila semua pasukan sudah stabil, kembali semula ke profesional,” jelasnya.
Tambahnya, jika kembali ke Semi Pro, satu-satunya pasukan yang akan terkesan adalah Johor Darul Ta’zim (JDT) yang ketika ini muncul pasukan yang betul-betul profesional.