Sabah 'hadiah' UiTM kekalahan ke-8 - Utusan Malaysia

Sabah ‘hadiah’ UiTM kekalahan ke-8

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sabah menjadikan UiTM FC ‘mangsa’ melepaskan geram apabila membelasah pasukan itu 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, sebentar tadi.

Sebelum ini, hajat Sang Badak  untuk menghadiahkan kemenangan buat peminat apabila stadium dibuka buat kali pertama tidak kesampaian selepas kalah 1-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Peluang kedua beraksi di depa lebih 1,000 penyokong setia yang hadir ke stadium, jelas mahu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Sabah dan keinginan tersebut dibuktikan dengan melakukan serangan bertali arus ke gawang pelawat sebaik sahaja wisel sepak mula ditiup.

Usaha memburu gol pembukaan akhirnya terhasil menerusi ledakan penyerang dari Liberia, Sam Johnson yang menfaatkan peluang terbuka selepas tandukan Amri Yahyah gagal dikeluarkan dengan kemas oleh penjaga gol UiTM, Dominik Picak pada minit ke-28.

Lima minit sebelum memasuki bilik persalinan, giliran Saddil Ramdani mengukuhkan kedudukan Sabah untuk mendahului UiTM 2-0 apabila rembatannya terkena pertahanan pelawat sebelum bola menerjah jaring.

Bersambung babak kedua, tuan rumah terus garang apabila meledak gol ketiga perlawanan hasil gerakan satu dua yang dimulakan pertahanan dari Korea Selatan, Park Tae Soo bersama Saddil, sebelum disudahkan dengan tenang oleh pertahanan berusia 31 tahun itu pada minit ke-50.

Biarpun ketinggalan tiga gol, pasukan kendalian Reduan Abdullah tetap bersemangat melancarkan beberapa serangan ke gawang tuan rumah namun gagal untuk menembusi penjaga gol Sabah, Robson Rendy.

Penyerang berpengalaman Rhinos, Bobby Gonzales melengkapkan malam bergaya buat tuan rumah dengan menggandakan jaringan menerusi sepakan lencong untuk menewaskan Picak buat kali keempat pada minit ke-87.

Ini kekalahan kelapan dalam sembilan perlawanan, sekali gus kekal di tangga tercorot liga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya