PETALING JAYA: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan menganjurkan eMFL Liga Super kali kedua bermula 20 April hingga 9 Mei ini.
Pertandingan yang dipersetujui oleh industri permainan video merangkap penerbit siri permainan FIFA, Elektronic Arts (EA) juga menyaksikan MFL menjadi satu-satunya rakan kongsi liga rasmi bersama EA Sports di Asia Tenggara selain menjadi pemegang hak rasmi kejohanan itu buat kali kedua berturut-turut.
Kejohanan yang mendapat penajaan Unifi itu akan menyediakan hadiah bernilai RM50,000 secara kerseluruhan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan optimis kenaikan nilai hadiah pertandingan berformatkan konsol itu bukan sahaja memberikan suntikan moral kepada barisan pemain-pemain yang bakal bermain dalam unifi eMFL Liga Super kali kedua ini.
Beliau juga yakin kejohanan itu akan membuka peluang kepada semua pihak untuk menunjukkan potensi mereka selain kejohanan itu mampu menjadi salah satu platform pembangunan atlet sukan elektronik pada masa akan datang.
“Tidak boleh menafikan bahawa sukan elektronik semakin berkembang pesat dan karier pemain-pemain sukan elektronik juga berada di prestasi yang boleh dibanggakan.
“Kejohanan eMFL Liga Super adalah satu perkembangan baik kepada golongan atlet sukan elektronik dan lebih positif, Liga Malaysia dapat dikembangkan melalui saluran digital.
“Harapan saya adalah mahu melihat setiap pemain dapat memberikan yang terbaik ketika kejohanan unifi eMFL Liga Super bermula nanti dan saya percaya kenaikan nilai hadiah sebanyak RM50,000 bukan sahaja menambah nilai prestij kejohanan malah memberikan semangat kepada pemain juga pihak di luar sana untuk memasang impian bermain di eMFL pada suatu hari nanti,” katanya.
Kejohanan tahun ini memperkenalkan format yang lebih kompetitif iaitu Liga eMFL dan Grand Final di mana hanya lapan pemain teratas Liga eMFL sahaja yang layak untuk bertanding dalam pusingan Grand Final.
Juara unifi eMFL Liga Super akan melayakkan diri ke East Asia Regional Cup yang dianjurkan oleh EA dan bakal beraksi di peringkat antarabangsa.