ALOR SETAR: Tonggak import Kedah dari Brazil, Renan Alves bakal kembali memantapkan benteng pertahanan dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur (KL) City di Stadium Darul Aman, esok.
Menurut jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak, Renan yang belum pernah tampil dalam mana-mana perlawanan musim ini kini telah pulih dari kecederaan bersama dua lagi pemain senior, Rizal Ghazali dan Syazwan Zainon.
“Untuk mengutip tiga mata penuh bukan mudah tetapi dengan kembalinya tiga pemain ini, itu akan menjadi satu motivasi buat keseluruhan pasukan.
“Insya-Allah dengan apa yang kita rancangkan, kita akan melakukan yang terbaik dalam perlawanan itu nanti,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum mengendalikan sesi latihan di Stadium Suka Menanti di sini, malam semalam.
Aidil dalam pada itu berkata, kegagalan mencatat kemenangan dalam dua perlawanan terakhir ketika menentang Terengganu dan Perak sebelum ini tampak mula menyedarkan para pemain untuk menampilkan aksi lebih kemas selepas ini.
“Saya fikir ada juga kebaikannya bila kita tidak menang. Sekarang ini, semua pemain dilihat cuba memberikan yang terbaik untuk memastikan kita memperoleh tiga mata penuh bagi terus kekal di kedudukan antara yang teratas.