LONDON: Thomas Tuchel mengalami kekalahan pertama dalam 14 perlawanan sejak mengambil alih Chelsea, Januari lalu apabila tumbang 2-5 kepada kelab kedua tercorot, West Brom dalam aksi Liga Perdana Inggeris di laman sendiri hari ini.
Layangan kad merah terhadap Thiago Silva pada minit ke-29 membawa padah buat Blues, sekali gus menyebabkan peluang mereka untuk mencabar kelompok empat terbaik kini dalam bahaya.
Kelab tangga kelima, West Ham kini mengekori Chelsea dengan dua mata di belakang, manakala Tottenham yang berkedudukan keenam hanya dipisahkan tiga mata. Kedua-dua pasukan memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
West Brom kekal di tangga kedua tercorot, namun merapatkan jurang kepada tujuh mata dari zon selamat.
Chelsea bermula baik apabila membuka jaringan menerusi Christian Pulisic pada minit ke-27, iaitu jaringan kedua pemain Amerika Syarikat itu musim ini.
Bagaimanapun, keadaan mula merubah apabila Silva dibuang padang selepas mengutip dua kad kuning.
Dua jaringan pantas Matheus Pereira dalam tempoh dua minit di hujung babak pertama mengetuai kebangkitan West Brom.
Callum Robinson turut meledak dua gol pada babak kedua, manakala Mbaye Diagne mencetak nama sebagai penjaring.
Mason Mount cuba merapatkan jaringan pada minit ke-71, namun ia sudah terlalu lewat. – AGENSI