MADRID: Kesilapan taktikal dan kecuaian pemain menyebabkan Liverpool tewas 1-3 kepada Real Madrid pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara hari ini.
Jurgen Klopp menyedari dia melakukan kesilapan taktikal apabila mengeluarkan Naby Keita sebelum tamat babak pertama.
Pengendali dari Jerman itu membuat kejutan menyenaraikan Keita dalam kesebelasan utama berbanding pemain lebih berpengalaman yang menunjukkan peningkatan sejak akhir-akhir ini, Thiago Alcantara.
Juara 13 kali, Real jauh lebih unggul dalam 45 minit pertama dan membuka jaringan menerusi rembatan cantik Vinicius Junior pada minit ke-27.
Kesilapan bek kiri, Trent Alexander-Arnold menanduk bola tepat ke kaki Marco Asensio membuka jalan kepada gol kedua tuan rumah di minit ke-36.
Reds berjaya merapatkan jurang enam minit selepas babak kedua bersambung apabila Mohamed Salah menjaringkan gol hasil gerakan Georginio Wijnaldum dan Diogo Jota.
Itu satu-satunya percubaan yang dilancarkan oleh Liverpool di Estadio Alfredo Di Stefano.
Bagaimanapun Vinicius memadam kebangkitan yang cuba dilakukan Reds apabila meledak gol ketiga tuan rumah, sekali gus mengulangi final 2018 yang turut menyaksikan mereka tewas 1-3 kepada Real.
Kekalahan itu juga menuntut Liverpool mengulangi kebangkitan luar biasa yang dilakukan pada separuh akhir 2019 apabila mereka tumpas 0-3 kepada Barcelona di Camp Nou tapi menang 4-0 di Anfield.
Bagaimanapun beraksi tanpa penyokong keadaan mungkin lebih sukar buat Reds kali ini apabila mereka menerima kunjungan Real di Anfield pada 15 April.