LEEDS, England: Sudahlah keciciran mata, pertemuan Liverpool menentang Leeds United yang berkesudahan 1-1 hari ini turut dibayangi bantahan penyokong dan pemain lawan terhadap Reds kerana menyertai Liga Super Eropah (ESL).
Keputusan seri menyebabkan Liverpool terlepas peluang melonjak ke kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris, sebaliknya kekal di tangga keenam dengan dua mata di belakang West Ham.
Tandukan Diego Llorente, iaitu gol pertamanya bersama Leeds, tiga minit sebelum tamat permainan menghukum anak-anak buah Jurgen Klopp.
Terdahulu, Reds bermula baik dengan membuka jaringan menerusi Sadio Mane pada minit ke-31.
Kelompok empat teratas Liga Perdana menjadi rebutan kerana menawarkan tiket ke Liga Juara-Juara UEFA musim depan.
Bagaimanapun, tindakan Liverpool bersama 11 gergasi Eropah yang lain menyatakan persetujuan menyertai Liga Super bakal menyebabkan mereka dilarang bertanding dalam saingan kelab elit Eropah itu.
Selain Liverpool, Manchester United, Manchester City, Chelsea, Arsenal dan Tottenham kelab Liga Perdana yang turut menyatakan sokongan terhadap pertandingan kontroversi itu.
Tiga gergasi La Liga, Real Madrid, Barcelona serta Atletico Madrid dan tiga kuasa bola sepak Itali, Juventus, Inter Milan dan AC Milan turut terlibat dalam Liga Super.
Menurut cadangan, 15 pasukan utama akan melengkapkan kejohanan 20 kelab itu setiap tahun tanpa perlu melalui kelayakan.
Penyokong daripada Leeds dan Liverpool melakukan protes di luar Elland Road sebelum sepak mula manakala kain rentang bertulis: “Dapatkan ia di padang. Bola sepak ialah untuk peminat.”
Pemain Leeds juga memakai baju T sebelum perlawanan memaparkan mesej sama manakala pesawat melintasi stadium membawa mesej #SayNoToSuperLeague.
Klopp yang sebelum ini menentang penubuhan ESL kelihatan serba salah ketika ditanya mengenai liga itu dalam temubual bersama Sky Sports.
“Satu perkara yang saya faham, ramai merasakan ada perkara yang tidak betul mengenai tahap kompetitif kejohanan,” katanya. – AGENSI