KUALA LUMPUR: Satu pukulan sudut penalti sudah memadai untuk PKS Uniten-KPT mempertahankan gelaran Piala Vivian May Soars selepas menewaskan UniKL Ladies 1-0 di pentas akhir, sebentar tadi.
Saingan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, di sini menyaksikan jaringan tunggal menerusi set-piece itu hadir pada minit ke-54 hasil ledakan Nurul Faezah Shafiqah Khalim.
Dalam saingan tersebut, UniKL Ladies yang masih segar dengan kejayaan Liga Hoki Wanita Malaysia bagaimanapun telah mencatat 58 peratus penguasaan permainan dengan 10 percubaan tepat, termasuk lima pukulan sudut penalti berbanding PKS Uniten-KPT, satu.
“Memang satu perlawanan yang sengit tetapi saya beritahu pemain kita perlukan hanya satu pukulan sudut penalti untuk jaringkan gol.
“Benar sekali, Nurul Faezah menghasilkan gol dari gerakan yang memang telah kita rancang sebelum ini,” kata Lailin Abu Hassan selaku pengendali PKS Uniten-KPT selepas tamat perlawanan.
Dalam pada itu, pengendali UniKL Ladies, Roslan Jamaluddin pula hampa apabila tidak dapat merealisasikan kemenangan berganda tetapi memberikan pujian kepada pasukan PKS Uniten-KPT.
“Uniten bermain baik menangkis lima pukulan sudut penalti kami. Tetapi, saya puji kesungguhan pemain saya yang bermain bersungguh-sungguh walaupun ada yang cedera,” katanya.
Tambah Roslan, UniKL Ladies akan meneruskan persiapan untuk tampil buat kali kedua tahun depan dan berharap kembali dengan lebih mantap.