IPOH: Jurulatih Projek MSN-FAM dan Perak FC II, Yusri Che Lah dan Syamsul Saad masing-masing berbeza perasaan selepas kedua-dua padukan terikat tanpa jaringan dalam pertemuan Liga Perdana di Stadium Perak, semalam.
Yusri gembira dengan kejayaan anak didiknya mengutip mata pertama di gelanggang lawan manakala Syamsul di selubungi kekecewaan.
“Saya gembira dengan keputusan ini, pemain saya berjaya menafikan kejayaan Perak.
“Sebelum perlawanan saya beritahu pemain supaya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perlawanan ini.
“Saya gembira pemain melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan,” kata Yusri selepas perlawanan semalam.
Sementara itu, Syamsul atau Choi jelas kecewa dengan kegagalan Perak II mengutip mata penuh.
Katanya, pemain tidak bermain seperti yang diarahkan dan tidak melaksanakan apa yang dirancang.
“Sebelum perlawanan saya sudah ingatkan pemain tentang kesukaran perlawanan ini kerana buat julung kalinya kami turun sebagai pasukan pilihan.
“Rasa ego pemain Perak II menyaksikan kami tidak beraksi sebagai satu pasukan seperti biasa. Pemain mula bertindak secara individu dan ini mengakibatkan kami hilang bentuk.
“Saya berharap perlawanan ini menjadi pengajaran kepada anak buah saya,” kata Syamsul.