JOHOR BAHRU: Skuad Penyu menangis kegembiraan apabila mencipta sejarah menjadi pasukan pertama menewaskan penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini pada aksi Liga Super sebentar tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan Terengganu FC merapatkan jurang dengan skuad Harimau Selatan selepas mengutip 21 mata selepas 10 perlawanan, dua mata di belakang JDT di persada liga.
Ini adalah kekalahan pertama JDT dalam aksi Liga Super pada musim ini sekali gus menamatkan rekod 21 perlawanan tanpa kalah.
Babak pertama menyaksikan aksi seimbang kedua belah pihak yang silih berganti mengasak kubu lawan bagi mencari gol pembukaan.
Pasukan kendalian Benjamin Mora yang kebiasaannya menjaringkan gol pada minit awal permainan bergelut untuk merobek benteng pertahanan skuad Penyu.
Jentera serangan JDT yang diketuai Bergson Da Silva dan Gonzalo Cabrera dilihat tumpul pada separuh masa pertama apabila tidak ada percubaan berbahaya dilancarkan ke arah gawang lawan, semua percubaan itu tepat ke dakapan penjaga gol Suhaimi Husin.
Serangan balas Terengganu mengejutkan pasukan tuan rumah apabila David Da Silva yang sudah melepasi kawalan Farizal Marlias hampir mencipta jaringan namun rembatannya sekadar menggegar tiang gol pada minit akhir babak pertama.
Bersambung babak kedua, pasukan Terengganu dan JDT masing-masing mengatur serangan bagi mencari gol pembukaan bagi meletakkan di kedudukan selesa.
Pasukan bimbingan Nafuzi Mahammad Zain akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-56 menerusi jaringan pemain pertahanan, Hakimi Abdullah.
Hakimi mencuri kesempatan hasil kesilapan pemain pertahanan, Adam Nor Azlin untuk membuang bola dari zon bahaya apabila ‘clearance’ dibuat terkena rakan sepasukan Natxo Insa.
Tersentak dengan jaringan tersebut, juara bertahan itu bagaikan harimau yang cedera bertindak garang menggandakan asakan untuk mencari gol penyamaan.
Bergson yang menjadi sandaran selaku mesin gol dalam perlawanan terdahulu kelihatan tidak mampu untuk mengubah kedudukan apabila pemain pertahanan lawan berkampung mempertahankan kelebihan jaringan yang dimiliki.
Safawi Rasid, Ramadhan Saifullah Usman dan Akhyar Rashid yang dibawa masuk dilihat bagi memperkuatkan jentera serangan juga tidak mampu mengubah kedudukan dan perlawanan berakhir JDT tewas buat kali pertama musim ini.