SEREMBAN: Rekod tanpa Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam saingan Liga Perdana lebur apabila tumpas mengejut 2-3 kepada Kelantan United sebentar tadi.
Beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, tuan rumah mendahului seawal minit pertama hasil tandukan ketua pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd. Razak.
Pasukan pelawat bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan hasil sentuhan Alfusainey Gassama pada minit ke-20.
Di penghujung babak pertama, Negeri Sembilan terpaksa bermain dengan 10 orang pemain tengah, Saiful Ridzwan Selamat dilayangkan kad merah kerana mengasari Muhammad Ashraf Aliffuddin Yasin.
Situasi memberikan kelebihan buat Kelantan United apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-51, sekali lagi menerusi sentuhan Alfusainey.
Perlawanan terus berlangsung rancak apabila penyerang import Negeri Sembilan, Alain Thierry Akono Akono menyamakan kedudukan pada minit ke-60.
Namun tidak lama kemudian, Kelantan United kembali mendahului menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti yang disempurnakan Hariz Kamarudin pada minit-65.
Tuan rumah terus melancarkan serangan namun usaha mencari gol penyamaan, namun tidak mendatangkan hasil sekali gus menyaksikan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas tujuh perlawanan Negeri Sembilan masih di tangga teratas dengan 14 mata manakala Kelantan United memperoleh 10 mata dan menghuni kedudukan kelima liga.