SIAPA sangka di sebalik kehebatannya sebagai bintang bola sepak sehingga dipanggil menjadi pemain naturalisasi Harimau Malaya, Liridon Krasniqi pernah melalui pengalaman hidup yang sukar.
Diberi julukan Mat Don oleh penyokong Kedah ketika menyarung jersi pasukan itu dari 2015 hingga 2018, pemain kelahiran Kosovo tersebut mendedahkan dia pernah bekerja sebagai buruh kasar di tapak pembinaan sebelum mendapat kontrak sebagai pemain bola sepak profesional.
Kata Liridon, 29, yang kini beraksi buat Johor Darul Ta’zim (JDT) tetapi dipinjamkan kepada kelab Australia, Newcastle Jets, dia melakukan apa saja pekerjaan demi menyara keluarga.
Selepas berjam-jam bekerja di tapak pembinaan, dia akan berlatih sendirian demi mengejar impiannya dalam bola sepak.
“Ketika muda, saya banyak menghabiskan masa di jalanan. Cuba membantu keluarga.
“Saya berlatih sendiri. Tidak kira hujan, salji atau ribut, saya tetap berlatih.
“Saya berlatih keras kerana saya tahu masanya akan tiba,” katanya dalam temu bual bersama Newcastle Jets.
Sebagai pemain muda Liridon menunjukkan potensi sepanjang beraksi bersama akademi 1860 Munich, Bayern Munich dan FC Nurnberg di Jerman.
Bagaimanapun sebaik saja melangkah ke alam profesional, kariernya tidak seindah yang diharapkan.
Dia bukan saja gagal mendapatkan kontrak profesional bersama kelab Jerman, malah hanya sempat beraksi untuk tempoh singkat bersama kelab Republik Czech, Mlada Boleslav.
Unable to secure a professional contract, Liridon Krasniqi was working construction to support his family.
After finishing his day on the job site, he would hit the pitch and train.
This is his story.
➡ https://t.co/lTG3Upv2lI#ALeague #NeverTearUsApart pic.twitter.com/p7iG4flGh3
— NEWCASTLE JETS FC ✈️ (@NewcastleJetsFC) April 27, 2021
Bakat pemain tengah itu mula menyerlah ketika beraksi dalam liga divisyen dua Turki bersama Ankaraspo dan dipinjamkan ke Fethiyespor.
Nasibnya berubah sama sekali apabila menerima tawaran daripada antara pasukan terbaik Liga Malaysia, Kedah pada 2015.
“Beraksi di Malaysia pun sudah cukup jauh dari rumah saya. Saya tidak pernah menjangkakan akan pergi lebih jauh dari itu.
“Saya sifatkan tempoh di Malaysia sangat berjaya. Saya benar-benar jatuh cinta dengan negara ini,” katanya.
Kata Liridon, kehadirannya yang sentiasa dialu-alukan di Malaysia membuatkan dia tidak mahu meninggalkan negara kini.
Begitupun, dia sedia mempertimbangkan peluang bermain di Australia biarpun amat merindui Malaysia.
Mat Don juga tidak sabar untuk membuat kemunculan pertama bersama Harimau Malaya dalam Kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun nanti.