LONDON: Menjelang Grand Prix (GP) Motosikal Portugal 18 April depan, kedudukan juara dunia enam kali, Marc Maquez untuk kembali berlumba masih samar.
Pelumba Repsol Honda dari Sepanyol itu sebelum ini membayangkan bakal membuat kepulangan pertamanya selepas hampir setahun pada perlumbaan ketiga 2021.
Marquez, 28, terlepas dua aksi pertama musim ini ekoran kecederaan tangan yang dialami selepas terlibat dalam kemalangan pada perlumbaan sulung 2020, Julai lalu.
Menjelang pusingan ketiga di Litar Algarve, Portimao, pengganti Marquez, Stefan Bradl mendedahkan situasi pelumba tersebut masih samar dan dia perlu menunggu pemeriksaan akhir yang akan diadakan pada 12 April ini.
Katanya, pasukan perubatan belum memberi lampu hijau sepenuhnya kepada Marquez untuk kembali berlumba dan jika dia gagal mendapat ‘lampu hijau’ pelumba itu hanya dijangka membuat kepulangan semula pada GP Sepanyol, 2 Mei depan.
“Marquez perlu melakukan beberapa ujian perubatan pada 12 April dan sesi latihan bebas Grand Prix Portugal bermula 16 April, jadi ia tempoh yang amat singkat.
“Selepas terlepas dua perlumbaan pertama musim ini, terdapat kemungkinan dia bakal terlepas perlumbaan ketiga atau mungkin keempat,” tulis Speedweek.
Tanpa Marquez, Repsol Honda bergelut untuk memberi cabaran sengit dalam dua perlumbaan pertama 2021 apabila keputusan terbaik mereka hanya diraih menerusi Pol Espargaro yang menduduki tangga kelapan GP Qatar, 28 Mac lalu.
Dalam aksi kedua di GP Doha 4 April lalu, pasukan itu gagal menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik.
Lebih malang, pasukan kedua Honda, LCR Honda juga gagal menampilkan aksi cemerlang.
Takaaki Nakagami gagal menamatkan perlumbaan dalam perlumbaan MotoGP Doha, manakala adik Marquez, Alex mengakhiri saingan lebih awal dalam kedua-dua saingan.